Farah Tenang Jawab Isu Tak Hijab Lepas Balik Umrah


BERTUDUNG atau tidak, ianya sama sekali tidak menentukan sama ada tinggi atau rendah iman seorang wanita Muslim.

Memakai tudung adalah perkara wajib kerana bagi menutup aurat itu yang diharuskan dalam Islam kerana seorang wanita Muslim yang taat pasti akan mengikut suruhan Yang Maha Pencipta.

Ekoran isu tidak bertudung selepas pulang dari mengerjakan umrah pada tahun lalu, pelakon Farah Nabilah kini mula membela dirinya.

Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 26, sangat berharap agar para peminatnya tidak menilai dirinya hanya kerana masih tidak bertudung sejak pulang mengerjakan umrah Disember lalu.

“Biasalah, apabila lihat artis mengerjakan umrah mesti akan ingat apabila pulang semula ke tanah air akan berubah 360 darjah menjadi individu lain.

“Apa saya buat selepas saya balik daripada umrah, imej saya dan hidayah, itu semua rahsia Allah. Kita semua tidak tahu,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.


Baginya, dia tidak mahu menjadi seorang wanita yang hipokrit kerana dia sahaja yang mengetahui tentang segala tindakan ataupun keputusan yang dilakukan untuk imej dirinya sendiri.

“Tidak semestinya orang tidak bertudung itu jahat dan orang bertudung semuanya baik. Kalau kita betul-betul baik, kita tidak akan menilai orang pun. Lebih baik muhasabah diri,” tambahnya lagi.

Bakat pelakon si cantik manis ini menjadi perhatian apabila dia digandingkan bersama dengan pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin menerusi drama Titian Cinta.

Drama itu sekali gus telah menaikkan namanya dengan cepat walaupun sebelum ini dia sudah menjadi pelakon utama dalam drama Papa Ricky pada tahun lalu.

Pada perkembangan lain, Farah telah tercalon dalam Top 20, Anugerah MeleTOP Era (AME2018) bagi kategori Pelakon Drama MeleTOP, Artis Baru MeleTOP dan Drama MeleTOP (Titian Cinta).  - Kedahnews.com