KUALA LUMPUR - Pasukan Liga Malaysia (Liga M) berdepan syarat peraturan lesen yang lebih ketat pada masa depan sejajar dengan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu meningkatkan standard saingan domestik.
Malah, peraturan itu lebih ketat berbanding yang diperkenalkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan buat masa ini, FAM hanya memperkenalkan dua jenis sistem pelesenan, iaitu yang memenuhi keperluan ditetapkan AFC dan pertandingan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam bagaimanapun, berkata sistem itu akan diseragamkan dengan peraturan yang lebih ketat berbanding AFC.
"Kita melihat peraturan yang lebih ketat daripada AFC. Saya sentiasa percaya AFC perlu memperkenalkan peraturan yang bukan saja sesuai dengan Jepun dan Korea tetapi juga Timor Leste.
Jika kami semata-mata memenuhi keperluan AFC, ia bermakna kita hanya mencapai standard yang minimum," kata Kevin dalam kunjungan ke Balai Berita, The News Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), semalam.
"Jika sasaran kami hanya memenuhi peraturan minimum saja, bermakna kita tidak meningkat. Sasaran jangka panjang kami adalah untuk mempunyai amalan pelesenan pasukan yang lebih ketat daripada AFC.
"Menerusi cara berkenaan, mana-mana pasukan dari Malaysia yang mendapat lesen itu secara automatik boleh bertanding dalam pertandingan AFC."
Sebagai langkah ke arah itu, FAM sudah memperkenalkan peraturan yang mengawal aktiviti komersial dalam peraturan pelesenan kelab.
"Pada tahun pertama pengenalan peraturan lesen ini, kami memperkenalkan kriteria aktiviti komersial yang mana AFC sendiri pun tidak ada," kata Kevin yang menjelaskan hanya separuh daripada 12 pasukan Liga Super pada tahun ini memenuhi peraturan pelesenan AFC.
FAM menganjurkan seminar pelesenan sepanjang dua hari yang berakhir di Shah Alam hari ini membabitkan 24 pasukan Liga M yang mana topiknya berkait rapat dengan keselamatan stadium, pembangunan akar umbi dan masalah tunggakan gaji.
Sumber: BH Online