GiatMara Alor Setar Ditugas Naik Taraf Pendawaian Elektrik Maahad Tahfiz


ALOR SETAR - Pusat GiatMara Alor Setar diberi tugas untuk menggalas tanggungjawab menaik taraf pendawaian elektrik dan keselamatan semua maahad tahfiz di negara ini.

GiatMara kini dilantik sebagai ejen pelaksana kerja-kerja tersebut dengan membabitkan peruntukan RM80 juta sejak November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Othman berkata, bagi menjamin maahad tahfiz dalam keadaan selamat, kerajaan menyalurkan peruntukan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Peruntukan itu dikhaskan untuk projek senggara dan pendawaian elektrik yang kini  dilakukan.

Menurut Jamal, setakat ini 1, 281 maahad tahfiz sudah diperiksa dan daripada jumlah itu 433 siap disenggara sepenuhnya manakala 527 masih dalam penilaian untuk proses penggantian.

"Bagaimanapun, sebahagian lagi terpaksa ditolak kerana bangunan itu masih baru dan ada juga yang tidak diiktiraf sebagai tahfiz disebabkan kekurangan pelajar.

"Kita mempunyai 669 maahad tahfiz di seluruh negara yang tidak berada di bawah senarai JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan peruntukannya berbeza iaitu antara RM10,000 hingga RM30,000.

"Manakala 612 maahad tahfiz yang berdaftar dengan JAKIM pula menerima antara RM10,000 hingga RM80,000 bergantung pada pemeriksaan keselamatan yang dilakukan untuk kerja penggantian," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada sidang media 'Walkabout' Senggara Pendawaian di Maahad Tahfiz Al-Hilmiah, Kepala Batas, di Alor Setar, semalam.

Turut sama hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Tambahnya, pemeriksaan tentang tahap keselamatan premis dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan GiatMara sebelum laporan itu dihantar kepada pihaknya untuk dibuat penilaian sebelum perlaksanaan senggara dilakukan.

Tahap keselamatan premis dinilai melalui tahap tiga kategori iaitu daif, sederhana atau sekolah itu milik kerajaan.

"Tahun lalu peruntukan yang diluluskan adalah RM30 juta, namun tahun ini ia ditambah RM50 juta lagi untuk menaik taraf maahad tahfiz di negara ini.

"Pihak GiatMara juga menggunakan tenaga kerja 1,540 pelajar pusat itu dari seluruh negara daripada 154 pasukan yang mana setiap pasukan mempunyai 10 pelajar sejak November lalu.

"Ini menunjukkan pelajar kami mampu melakukan tugas ini dan kebanyakan mereka yang terpilih adalah dalam kalangan mereka yang akan menamatkan latihan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Tajuddin berkata, tahun ini Kedah menerima tambahan RM2 juta berbanding RM1.08 juta tahun lalu yang menjadikan jumlah keseluruhan RM3.08 juta peruntukan untuk projek senggara dan pendawaian elektrik di 60 maahad tahfiz di negeri ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 27 sudah siap disenggara manakala sebahagiannya lagi sedang dalam proses dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini. - Kedahnews.com