Guru Amuk Dari Kulim Ditempatkan Di PPD


KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah di Kulim, Kedah yang mengamuk ketika mesyuarat guru dan menjadi tular dalam media sosial, ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu, semalam.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini, berkata tindakan guru wanita itu tidak melambangkan profesionalisme seorang guru.

"Kementerian mengarahkan Jabatan Pendidikan Kedah untuk menempatkan segera guru itu di PPD Kulim Bandar Baharu bermula semalam, sementara siasatan punca guru terbabit bertindak sedemikian selesai.

"Tindakan ini bagi mententeramkan keadaan emosi guru itu dan menjaga ketenteraman proses pengajaran di sekolah berkenaan," menurut kenyataan itu.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Januari lalu, menjadi tular dalam media sosial sehingga menimbulkan keresahan awam.

Video berdurasi kira-kira dua minit itu memaparkan guru berkenaan, dalam keadaan marah, mengeluarkan kata kesat sambil mengetuk meja pada satu pertemuan guru sekolah terbabit di bilik mesyuarat.

Kenyataan itu turut mengingatkan semua guru dan pentadbir sekolah untuk sentiasa berkelakuan serta bertindak secara profesional, khususnya dalam konteks hubungan sesama rakan sekerja, murid dan masyarakat bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

"Sebagai penjawat awam, guru hendaklah pada setiap masa menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion keguruan tidak menjadi bahan persendaan masyarakat," menurut kenyataan itu.

Sumber: BH Online