Guru Dari Kedah Johan Qari Daerah Papar


PAPAR - Guru bahasa Arab yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 2, Kota Kinabalu tidak pernah melepaskan peluang menyertai mana-mana pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan di negeri ini.

Berkat semangatnya itu, Mohd Syaiful Azlan Abu Yazid, 34, dinobatkan sebagai johan qari Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Papar mewakili Sabindo di pekarangan Masjid Jamek As Salam Kampung Benoni Papar, di sini, malam kelmarin.

Beliau yang berasal dari Baling, Kedah berkata, kecintaannya terhadap al-Quran mendorongnya untuk menyertai tilawah tidak kira di mana saja beliau tinggal termasuk di negeri lain.

''Saya pernah menjadi johan qari sebanyak dua kali di peringkat daerah Papar dan Putatan.

''Selepas bertugas sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah di sini, saya pernah mencuba nasib untuk bertanding di peringkat negeri Sabah tetapi hanya setakat ke peringkat saringan sahaja.

''Di mana sahaja saya bertapak, saya tidak jemu menyertai pertandingan tilawah Al-Quran malah saya juga pernah mengikuti pertandingan di Kedah dan Selangor ketika belajar di Darul Quran sebelum menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir,'' katanya kepada BH.


Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Lapan peserta mewakili Kinarut, Sabindo, Kampung Sungai Padang, Bongawan, Benoni dan Beringgis menyertai pertandingan tilawah berkenaan.

Justeru, Mohd Syaiful Azlan akan mewakili Papar ke pertandingan peringkat pantai barat selatan.

Katanya, selain menyertai pertandingan, beliau juga pernah menjadi hakim dan jurulatih pertandingan tilawah al-Quran peringkat sekolah.

Sumber: BH Online