Alor Setar - Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir memberitahu bahawa Kedah akan mendapat 12 guru di bawah Program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) pada tahun ini.
Tujuan itu dilakukan adalah bagi membimbing guru bahasa Inggeris tempatan, di samping bertindak sebagai duta budaya Amerika dan untuk meningkatkan kemampuan pelajar Malaysia menguasai bahasa Inggeris.
Katanya, mereka adalah antara 100 rakyat Amerika yang menyertai Program ETA tahun ini dan guru berkenaan akan memulakan tugasan 10 bulan mereka akhir bulan ini bagi membantu guru bahasa Inggeris sekolah menengah di sembilan negeri.
Kamala berkata demikian kepada pemberita selepas melawat The American Corner di Perpustakaan Negeri Kedah, di sini semalam.
ETA adalah program dua hala yang dikendalikan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia, dengan sokongan Kedutaan Amerika.
Terdahulu, Kamala beramah mesra dengan tiga pelajar sekolah tinggi Amerika yang sedang menuntut di sekolah di Kedah di bawah Program Pertukaran Belia dan Pendidikan (YES) Di Luar Negara Kennedy-Lugar. - Kedahnews.com