Guru Mengamuk: JPN Kedah Diberi Hingga Khamis Untuk Siasat


ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan memberi tempoh sehingga Khamis ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk menghantar laporan lengkap berhubung kejadian guru mengamuk di Kulim yang tular dimedia sosial sejak Rabu lalu.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya juga mengarahkan JPN Kedah untuk menempatkan segera guru berkenaan ke Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Saya tidak mahu komen banyak kerana mahu siasatan selesai terlebih dahulu.

"Saya harap siasatan tak ambil masa lama, takkan insiden seorang guru ambil masa sebulan," katanya selepas bertemu jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Padang Terap, di sini kelmarin.

Berikut kenyataan beliau ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang guru dari sebuah sekolah di Kulim yang mengamuk dalam satu mesyuarat guru yang tular sejak Rabu lalu.

Pada masa sama, Mahdzir menyarankan warga pendidik di negara ini menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh secara berkala bagi setiap tiga hingga empat tahun berkhidmat.

"Dalam mana-mana jabatan atau agensi, kebiasaanya pemeriksaan kesihatan menyeluruh hanya dilakukan apabila mula bekerja, selepas itu tak pernah buat.

"Elok pemeriksaan kesihatan menyeluruh ini dibuat secara berkala antara tiga hingga empat tahun sekali. Ini penting untuk mengesan masalah kesihatan seperti stres, penyakit mental, diabetis, darah tinggi dan kolestrol," katanya memetik Utusan Online.

Tambah Mahdzir, pihak pejabat pendidikan daerah (PPD) digalak mengadakan kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan pejabat kesihatan daerah bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dijalankan tanpa melibatkan kos.-Kedahnews.com