Habuan Guru Di Kulim Mengamuk Ketika Mesyuarat, Kementerian Pendidikan Keluar Arahan


PETALING JAYA - Institusi pendidikan di negara ini digemparkan dengan penularan rakaman video seorang guru mengamuk pada mesyuarat dalam kalangan pendidik yang berlangsung di sebuah sekolah di utara tanah air.

Rakaman hampir empat minit itu menunjukkan guru tersebut meninggikan suara kerana dipercayai tidak diberikan tempat duduk dalam mesyuarat berkenaan selepas membuat bayaran sebanyak RM70.

"Bahasa Inggeris kamu sungguh teruk... saya sudah bayar RM70, tak ada tempat duduk.

"Saya minta tempat itu, tetapi mereka keluarkan dan pindahkan meja itu," katanya sambil menghentakkan tangan di atas meja dan beberapa kali dilihat meludah di dalam bilik mesyuarat itu.

Susulan insiden tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan kenyataan pada Jumaat bahawa pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk menempatkan guru terbabit di Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu sehingga siasatan selesai.

Tarikh penempatan baharu itu berkuatkuasa pada Jumaat dan siasatan dilakukan untuk mengetahui punca guru wanita itu bertindak di luar kawalan.

"Seorang guru dari sebuah sekolah di Kulim, Kedah telah didapati menunjukkan reaksi yang tidak melambangkan profesionalisme sebagai seorang guru Malaysia.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Januari 2018 dan telah tular sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak," menurut kenyataan itu.

Tindakan menempatkan guru tersebut di Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu adalah bagi mententeramkan keadaan emosi guru terbabit serta melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di sekolah berkenaan.

KPM turut mengingatkan agar semua guru dan pentadbir sekolah supaya sentiasa berkelakuan profesional agar kejadian sama tidak berulang.

"Sebagai penjawat awam, mereka hendaklah menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion perguruan tidak menjadi bahan senda masyarakat," kata kenyataan itu.

Sumber: Mstar Online