Hafidz Kolumnis Pro-Pakatan Mengaku Gay, Tegar Anti-BN


KUALA LUMPUR - Hafidz Baharom, kolumnis portal The Malaysian Insight (TMI) mengisytiharkan di hadapan para hadirin Forum “Undi Rosak: Apa kau nak sebenarnya?” baru-baru ini bahawa beliau tidak akan menyokong Barisan Nasional kerana beliau adalah seorang gay.

Hafidz Baharom terdesak untuk membuat pengakuan eksklusif mengenai kecenderungan nafsu seks songsang sejenis yang beliau hidapi lantaran tidak tahan dituduh oleh para penyokong Pakatan Harapan sebagai pemakan dedak kerajaan supaya menghasut golongan anak muda untuk membuat undi rosak.

Berang dengan pelbagai cercaan dan tuduhan seperti “bodoh”, “otak rosak”, “dibayar BN”, “makan dedak” dan sebagainya, beliau menyeru mereka yang menghinanya itu untuk cuba menyelusuri sejarah hidupnya yang telah banyak berkorban untuk parti pembangkang seawal usia remaja lagi.

Beliau sanggup berjaga tengah malam di ibu pejabat PKR untuk menjaga media sosial Twitter PKR pada tahun 2013, malah telah menjadi budak penyebar risalah bagi KeADILan seawal usia 16 tahun pada tahun 1999 sebelum parti tersebut ditukar namanya kepada Parti Keadilan Rakyat.

Kolumnis TMI tersebut juga mendedahkan mengenai ugutan bunuh yang diterima oleh ibu dan bapanya, yang beliau percayai mempunyai kaitan dengan kempen #UndiRosak yang sedang dipromosikan oleh ahli panel penyokong kempen tersebut.

Beliau berkata, “Untuk saya, ia amat memualkan untuk melakukan perkara sedemikian, kerana #UndiRosak bukan satu gerakan tetapi kempen yang dimulakan beberapa individu secara rawak yang mempunyai idea atau pemikiran sama berkaitan iklim politik semasa.”

Hafidz Baharom mendapat kritikan hebat termasuklah dihujani ejekan hashtag #ForumRosak dan #AudioRosak bertalu-talu daripada para netizen kerana bunyi suara tayangan siaran langsung program tersebut dimatikan apabila tiba gilirannya untuk berucap.

Secara tiba-tiba moderator forum, Syahredzan Johan meminta jurukamera untuk mematikan audio siaran langsung dan menghalakan kamera ke arah lain supaya tidak terakam suara dan wajah Hafidz Baharom.

Arahan untuk mematikan siaran tersebut adalah daripada Hafidz Baharom sendiri, “Saya tidak perlu mengatakan kenapa saya mahu sesi saya dimatikan dan orang boleh cakap apa sahaja yang mereka mahu… ini negara bebas kamu tahu.”

Walau bagaimanapun, di tengah-tengah ucapannya beliau memberi alasan yang agak aneh mengapa beliau mahu rakaman siaran langsung dimatikan di samping menjawab tohmahan bahawa beliau sedang membantu Barisan Nasional.

“Sekarang sebab saya tidak mahu kamera, atau telefon, atau akaun twitter adalah kerana saya langsung tidak akan menyokong Barisan Nasional kerana saya gay.”

Sebelum ini, Hafidz Baharom pernah mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihapuskan dan beliau mahu wang yang diperuntukkan kepada jabatan yang menjaga hal ehwal Islam tersebut dibelanjakan ke arah lain.

Sumber: Menara.my