Haram Penyegar Udara Ada Bahan Kimia Tempat Awam


GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini meminta pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang ke arah pengharaman penggunaan pewangi dan penyegar udara yang mengandungi bahan kimia berbahaya di tempat awam.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata ia kerana produk sebegitu dibimbangi meningkatkan masalah pencemaran udara selain risiko kesihatan, terutama jika terlalu lama terdedah kepadanya.

“Menurut (kajian) Akademi Sains Amerika, 95 peratus bahan kimia yang digunakan dalam produk wangian adalah sebatian sintetik daripada petroleum. Ini termasuk bahan kimia toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser, kecacatan bayi ketika lahir dan masalah kesuburan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau turut mendakwa penyegar udara organik dan mesra alam juga boleh mengeluarkan bahan cemar udara yang berbahaya.

“Pengguna berhak untuk bernafas dalam udara yang bersih dan tidak tercemar, mereka tidak seharusnya terdedah kepada udara yang dicemari pewangi tiruan dan bahan kimia toksik lain,” katanya menambah CAP pernah menerima beberapa aduan daripada pengguna berhubung kesan sampingan akibat penggunaan beberapa produk yang dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya. – Bernama