Harga Tiket Feri Ke Langkawi Kembali Pada Asal


ALOR SETAR - Akibat mendapat bantahan dari ramai pihak dan rata-ratanya tidak bersetuju dengan tambahan caj pengurusan sebanyak RM3 yang mula diperkenalkan semalam, pihak pengusaha mengambil keputusan untuk menarik semula perkara tersebut hari ini.

Hasil tinjauan di Jeti Kuala Kedah mendapati harga tiket yang semalamnya telah mula dijual pada RM26 untuk dewasa telah kembali pada harga asal yakni RM23 manakala kanak-kanak RM20 semalam kembali pada RM17.

Keputusan yang diambil setelah mengambil kira bantahan orang ramai itu ternyata menyenangkan hati orang ramai yang ditemui di jeti berkenaan dan menyambut baik usaha itu kerana tindakan mengenakan caj tersebut dianggap sebagai membebankan.

Seorang pelancong, Yuzniza Yahaya, 38, memberitahu, sekiranya pihak pengusaha mahu mengenakan caj maka ia perlu releven dan tidak membebankan selain mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.

“Caj tambahan yang mahu diperkenalkan perlu releven dan tidak membebankan pengguna. Bagi pelancong yang datang beramai-ramai bersama keluarga pasti akan terbeban dengan kadar caj tambahan yang tidak munasabah tersebut.

“Mungkin pihak operator feri boleh memberikan diskaun bagi pembelian dalam talian dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut,” ujarnya.

Menurut Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff, pihaknya menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut, sepatutnya pengusaha perlu mencari inisiatif lain bagi menggalakkan orang ramai membeli tiket dalam talian bukannya membebankan mereka lagi.

“Semalam, Cake menerima lebih 100 aduan daripada orang ramai berhubung caj pengurusan yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan feri tersebut.

“Kita berpendapat adalah tidak wajar untuk meletakkan beban kepada pengguna dalam usaha menggalakkan orang ramai membuat belian dalam talian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bukan itu sahaja, tindakan mengenakan caj pengurusan secara mendadak hanya membebankan pengguna terutama bagi warga emas yang tidak menggunakan internet. - Kedahnews.com