Hasil Analisis Sampel Kopi Dalam Masa Terdekat


KUALA SELANGOR – Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang menganalisis sampel kopi campuran yang didakwa menjadi punca beberapa lelaki dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami sindrom letih dan lemah teruk, semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata analisis berkenaan bertujuan mengenal pasti sama ada kopi campuran itu mengandungi bahan kimia terlarang.

“Kami jangka keputusan analisis ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan jika keputusan itu mendapati ia mengandungi bahan terlarang, jenama kopi campuran itu akan dihebahkan kepada orang ramai dan pengeluarnya akan diarahkan menarik balik produk itu daripada pasaran.

“Setakat ini melalui laporan yang saya terima sudah lima orang dimasukkan ke HPP selepas minum kopi campuran ‘durian white coffee’ itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Thaipusam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 penganut Hindu itu ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar serta anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Akhbar semalam melaporkan dua lelaki terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang semalam selepas pening kerana minum sejenis kopi campuran segera.

Mereka dikatakan mengalami simptom lemah dan letih selepas minum kopi berkenaan.

Dalam sidang akhbar sama, Dr. Subramaniam yang juga Presiden MIC turut merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan perdana menteri yang bersetuju menyalurkan geran berjumlah RM1.5 juta kepada kuil berkenaan bagi membina sebuah dewan serbaguna.

Beliau berkata pembinaan dewan berkenaan menelan kos kira-kira RM3 juta, di mana baki RM1.5 juta akan diusahakan sendiri oleh jawatankuasa kuil itu melalui kutipan derma.

“Pembinaan dewan ini nanti bakal meningkatkan aktiviti masyarakat India di kawasan Kuala Selangor dan sekitarnya. Peruntukan ini sebagai bukti Kerajaan Pusat prihatin terhadap keperluan masyarakat India seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk pembangunan di kuil itu sekiranya jawatankuasa kuil itu berjaya mengumpul dana berjumlah RM1.5 juta. – BERNAMA