Helang Merah Uji Pemain Muda Lawan Suphanburi FC


ALOR SETAR -Pasukan Kedah akan meneruskan 'ujian' memantapkan skuad yang menggabungkan pemain muda dan senior ketika bertemu kelab dari liga 1 Thailand Suphanburi FC di Stadium Darul Aman, Rabu ini.

Tiket untuk perlawanan ini adalah RM10 untuk ruang terbuka dan berbumbung manakala RM20 untuk ruang Astaka Utama.

Dimaklumkan, perlawanan jam 9 malam itu adalah sempena Mini Karnival dan majlis pelancaran jersi pasukan yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman pada sebelah siangnya.

Namun, pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah mengumumkan tarikh pelancaran jersi musim 2018 skuad Lang Merah dan Majlis memperkenalkan pasukan musim 2018 di Hotel Royal Signature, Alor Setar yang sepatutnya berlangsung pada 24 Januari ini ditukar kepada 31 Januari ini.

Didalam majlis perasmian itu dijangka akan disempurnakan Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama pengurusan tertinggi KFA serta semua penaja.

Pada majlis itu juga, KFA juga akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus baharu skuad Helang Merah serta memperkenalkan barisan kejurulatihan yang diketuai Ramon Marcote bersama staf lain.

Sepanjang mini karnival itu, orang ramai berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang disediakan termasuk persembahan artis, kuiz, dan penjualan barangan penaja.

Penyokong juga boleh mendaftar Kad Ahli Keutamaan KFA dan membeli Pas Bermusim 2018. - Kedahnews.com