Hentikan Bercakap Tentang Isu Jantina Saya - Sajat


KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan yang juga instafamous, Nur Sajat, meminta orang ramai berhenti memperkatakan isu jantinanya.

Dalam kemaskini status di akaun Facebook, Sajat berkata, dia tidak faham mengapa orang ramai terlalu fokus kepada persoalan tersebut sedangkan masih banyak perkara lain yang boleh dibangkitkan.

"Kenapa tak bangkitkan isu-isu ekonomi, mata wang dan sebagainya?

"Buang masa saja bercakap tentang saya, baik cerita macam mana nak menjana pendapatan atau apa perancangan negara untuk 2018 ini," tulisnya.

Status itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mempunyai dua pendapat berbeza; menyokong dan membantah.

Bagi yang menyokong, mereka berpendapat isu jantina Sajat tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya akan memberi publisiti percuma kepada si empunya diri.

Bagi yang membantah pula, mereka memberikan alasan menegur sebagai punca utama isu itu terus diperkatakan.

"Ini bukan masalah negara, ni masalah hukum dalam Islam dan ternyata Allah benci perbuatan ini. Maaf jangan kecam, sekadar peringatan bersama," tulis Nordiana Arshad.

"Allah kalau nak turunkan bala, semua pun akan kena, jadi kenalah bagi teguran kalau ada yang buat silap," tulis Asri Ahmad.

Perdebatan netizen tentang jantina sebenar Sajat sampai ke kemuncak apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengatur satu pertemuan bersama ahli perniagaan itu dan ibu bapanya, baru-baru ini.

JAKIM dalam kenyataan memaklumkan akan mengambil tempoh sebulan untuk mengesahkan identiti sebenar Sajat.

Sumber: Astro Awani