Hudud: Tidak Sesuai Guna Pakar Bedah


KOTA BHARU - Hasrat Kelantan menggunakan khidmat pakar bedah bagi melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri apabila Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 Negeri Kelantan dilaksanakan adalah tidak sesuai.

Bahkan, bekas hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu, Che Ibrahim Mohamed berkata, perkara tersebut juga sebenarnya bercanggah dengan amalan profesion pengamal perubatan.

“Seorang pengamal perubatan ditauliahkan untuk merawat pesakit, bukan untuk melaksanakan hukuman.

“Jika benar Kerajaan Kelantan berhasrat untuk menggunakan kepakaran itu, mereka hendaklah terlebih dahulu dilantik dan diberi kuasa sebagai pelaksana hukuman oleh mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah Selasa lalu, yang memberitahu Kelantan bakal menggunakan khidmat pakar bedah untuk melaksanakan hukuman potong tangan kepada pesalah.

Che Ibrahim turut berpendapat, adalah mustahil dan tidak wajar seorang pakar bedah dilantik sebagai pelaksana hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Mohd Amar dalam kenyataannya itu juga memberitahu Kerajaan Kelantan akan melaksanakan sepenuhnya hukuman hudud sebaik sahaja RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah Syariah 1965 (RUU 355) diluluskan di Parlimen.

Bagaimanapun, Che Ibrahim menyifatkan kenyataan sebegitu adalah jelas satu sandiwara politik kerana nasib RUU 355 itu sendiri tidak diketahui setelah beberapa kali ditangguhkan sejak tahun 2015.

Sinis beliau, lagipun katanya, RUU 355 tidak ada kaitan langsung dengan hukuman potong tangan dan hukuman hudud yang lain.

“RUU 355 hanya sekadar meminda kuasa hukuman di mahkamah syariah, adapun bidang kuasa jenayah masih terhad dan kekal mengikut bidang kuasanya sebagaimana yang disebut dalam Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sumber: Sinar Online