Ibrahim Ali Enggan Gadai Maruah Sertai PPBM Kerana Mahathir 'Berkawan' DAP


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali enggan menggadai prinsipnya untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menganggotai Pakatan Harapan bersama DAP.

Walaupun terhutang budi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Ibrahim enggan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menurutnya  sewaktu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu ditubuhkan, Dr. Mahathir sendiri mempelawannya menyertai parti atas alasan beliau selalu menyokong segala aktiviti dan perjuangan Perkasa.

Namun jelas Ibrahim, hanya disebabkan PPBM menyertai Pakatan Harapan yang diketuai DAP, dirinya terus menolak pelawaan itu kerana sejak dari dahulu tidak menyukai DAP yang mempunyai agenda tersendiri terutamanya dengan konsep Malaysian Malaysia yang begitu tidak disenangi oleh orang Melayu.

“Memang betul saya rapat dengan Dr. Mahathir kerana begitu banyak jasa beliau kepada saya. Saya juga befikir panjang mengenai perkara ini sehinggalah saya membuat keputusan tidak mahu bersama PPBM kerana parti itu membuat keputusan untuk bersama DAP.

“Dr. Mahathir kawan saya, dan situasi ini agak menyedihkan. Tetapi inilah ujian sejati dan telus yang perlu saya hadapi,” katanya ketika menjadi seorang daripada ahli panel di dalam forum Perjuangan Untuk Semua yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, di sini malam kelmarin.

Turut menjadi ahli panel ialah bekas Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin.

Forum itu yang turut disiarkan secara langsung di beberapa akaun Facebook termasuk akaun milik Annuar.

Tambah Ibrahim, Dr. Mahathir yang diletakkan sebagai calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diketuai DAP membuatkan beliau juga terfikir apakah nasib yang bakal menimpa PPBM kerana status sebagai calon sementera adalah sangat singkat untuk melaksanakan segala dasar terutama dalam memelihara nasib orang-orang Melayu.

Sumber: Utusan
.