Ibu Bapa, Anak Kreatif Hasilkan Pakaian Guna Surat Khabar


KUALA ROMPIN - Pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar dengan kaedah kitar semula perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah melalui aktiviti yang menyeronokkan.

Kesannya tentu lebih baik jika ibu bapa turut memberi dorongan kepada mereka.

Menyedari hal ini, Sekolah Kebangsaan (SK) (LKTP) Selendang 4 menyelaras satu aktiviti melibatkan kerjasama ibu bapa dan anak mereka.

Penyelaras Program, Moriza Mohd @ Alias berkata, ibu bapa perlu menghias atau membuat pakaian menggunakan kertas surat khabar terpakai dengan reka bentuk kreatif.

“Asas menjaga alam sekitar ini adalah kasih sayang iaitu sayang kepada kebersihan di sekeliling kita, jadi untuk mendidik ke arah itu perlukan elemen kasih sayang.

“Maka hubungan kasih sayang antara ibu bapa dengan anak-anak adalah kuncinya, lalu diharapkan aktiviti ini dapat menyemai sikap cintakan alam sekitar melalui amalan kitar semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Kantin SK (LKTP)

Selendang 4, di sini, baru-baru ini, yang turut dianjurkan aktiviti jualan, pertandingan teka duit syiling, gubahan tuala dan pameran agensi kerajaan.

Dalam acara reka cipta pakaian daripada surat khabar terpakai itu, sebanyak lima kumpulan telah mengambil bahagian.

Menurut Moriza, ibu bapa terlibat turut diminta membawa surat khabar terpakai dari rumah bagi menjayakan acara itu.

Sumber: Sinar Harian