BERANG barang kemas miliknya hilang, seorang ibu tergamak melibas pisau pemotong daging sehingga mencederakan tiga anaknya berusia 10, 12, dan 15 tahun dalam kejadian di sebuah pangsapuri Putatan, Penampang.
Dalam kejadian 7 malam tadi, ketiga-tiga mangsa cedera di tangan manakala seorang lagi anak wanita itu berusia tujuh tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek meminta semua anaknya mencari barang kemas berupa cincin dan seutas gelang tangan yang dipercayai hilang sejak Ahad lalu.
"Selepas gagal menemui semua barang kemas itu, mangsa dikatakan marah lalu memukul dan mengugut mahu membunuh semua anaknya.
"Suspek kemudian bertindak di luar kawalan apabila mengambil sebilah pisau pemotong daging dan melibas ke arah empat anaknya dengan tujuan supaya ada anaknya mengaku,” katanya.
Haris berkata, akibat kejadian itu, tiga anaknya terkena libasan di bahagian tangan dan seorang lagi tidak cedera.
"Semua mangsa kemudian melarikan diri dan meminta bantuan jiran sebelum mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Taman Ketiau.
"Susulan itu, polis menahan wanita berusia 34 tahun ditahan di rumahnya 10 malam tadi.
"Polis turut merampas sebilah pemotong daging yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu di kawasan rumah suspek," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Sumber: Metro