KUNSHAN, China – Jurulatih penjaga gol skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Yong Wai Hwang mendedahkan prestasi kemuncak Haziq Nadzli berpunca daripada bantuan Ifwat Akmal Chek Kassim dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi sandaran utama di sebalik kejayaan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee layak ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 setelah menewaskan Arab Saudi 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Kunshan.
Malah, persembahan Haziq juga mendapat reaksi daripada jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia yang mendedahkan, pemain berusia 20 tahun itu bukan sahaja penjaga gol tetapi mampu bertindak sebagai pemain pertahanan.
Bagaimanapun Wai Hwang mendedahkan, persaingan sihat antara ketiga-tiga penjaga gol itu telah memaksa Haziq menjadi lebih baik dari sudut persembahannya.
“Ini adalah satu latihan yang kita lakukan setiap hari. Saya mahu mereka bertindak menjadi sweeper (alternatif pemain pertahanan), bukan sahaja sekadar menjadi penjaga gol. Bukan sahaja itu, dalam latihan Syihan dan Ifwat telah menolak Haziq untuk menunjukkan prestasi lebih tinggi.
“Walaupun persembahan Haziq memberangsangkan tetapi saya menganggap ia sebenarnya bantuan daripada kedua-dua pemain ini yang telah menolak Haziq menjadi lebih tinggi.
“Jadi, saya patut berterima kasih kepada Ifwat dan Syihan kerana membantu prestasi Haziq,” katanya.
Sementara itu, Wai Hwang juga tetap memuji sikap profesional Ifwat yang masih menunjukkan komitmen tinggi selepas penjaga gol Kedah itu dibolosi empat gol ketika tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Changshu minggu lalu.
“Kita tidak menyalahkan Ifwat atas kekalahan kepada Iraq. Dia telah menunjukkan prestasi yang baik walaupun melakukan kesilapan sehingga membolehkan mereka menjaringkan gol kedua (sebelum menang 4-1).
“Bagi saya, ini adalah suatu pengajaran kepada penjaga-penjaga gol muda ini supaya mereka boleh melangkah ke satu peringkat lebih tinggi dan ini adalah peluang untuk mereka bermain pada peringkat antarabangsa yang lebih baik,” ujarnya.
Sumber – Kosmo