KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) menjadi hospital pertama di negara ini dan rantau Asia Pasifik menjalankan implan Pacemaker (pengatur denyut jantung) pada pesakit mengalami degupan jantung tidak normal menggunakan Medtronic Micra Transcatheter Pacing System (TPS).
Pacemaker generasi kedua itu adalah terkecil di dunia bersaiz vitamin dihasilkan syarikat teknologi perubatan terbesar di Amerika Syarikat, Medtronic bagi menawarkan terapi inovatif untuk memulihkan kesihatan jantung dengan kadar torehan paling minimum.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, berkata alat itu tidak memerlukan pembedahan di dada bagi membentuk poket di bawah kulit, seterusnya menyingkirkan potensi wujudnya sumber komplikasi.
Katanya, rekaan saiznya persamaan satu persepuluh daripada Pacemaker konvensional itu dimasukkan ke dalam jantung melalui urat femoral bagi memenuhi misinya mengurangkan kesakitan dan memulihkan kesihatan jantung.
"Penggunaan implan Pacemaker ini memberikan jangka hayat lebih tahan lama, selain penggunaan bateri boleh disambungkan ke aplikasi khusus bagi pemantauan kesihatan jantung.
"Saya yakin ia berpotensi memberi faedah kepada lebih sejuta pesakit di peringkat global setiap tahun," katanya pada sesi mengumumkan IJN sebagai hospital pertama di negara dan rantau Asia Pasifik menggunakan TPS, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim; Pengarah Klinikal Pakar Elektrofisiologi, Dr Azlan Hussin; Perunding Kardiologi, Dr Surinder Kaur, Pakar Elektrofisiologi, Dr Zulkeflee Muhammad dan Pengarah Kumpulan Hubungan Psikologi Kardiovaskular, Asia Pasifik, Medtronic, David Cleghorn.
Dr Mohd Azhari berkata, Medtronic MICRA generasi pertama dilancarkan pada 2015 dan seramai 200 pesakit jantung di negara ini sudah menjalankan implan itu.
"Pacemaker tidak memerlukan penggunaan wayar dikenali sebagai 'leads' untuk disambung ke jantung tetapi menggunakan alat serampang 'tines' bagi membolehkan denyutan elektrik dihantar ke jantung untuk menetapkan kelajuan jantung menerusi elektrod pada akhir Pacemaker.
"Kami bangga IJN dipilih dalam kalangan kumpulan institut elit yang mengambil bahagian dalam percubaan klinikal global ini," katanya.
Sumber: BH Online