IPTS Kaut Untung? 'Songlap' Sebahagian Wang PTPTN Dan Zakat Penuntut


KUALA LUMPUR - Akibat janji manis dan tawaran yang menarik, seorang penuntut sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mendakwa diperdaya pengurusan sebuah kolej di utara tanah air.

Noraini Muslim, 26 tahun, berkata dia yang sepatutnya mendapat pinjaman sebanyak RM8,000 untuk setiap semester menerusi Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hanya mendapat RM7,500 sahaja.

“Terdapat pemotongan sebanyak RM500 setiap semester sebagai caj perkhidmatan yang dikemukakan oleh pihak kolej tanpa sebarang penjelasan.

“Itu belum lagi masuk yuran bulanan dianggarkan RM3,500 satu semester dan yang kami dapat lebih kurang RM4,000 sahaja untuk satu semester.

“Saya tak faham kenapa ada caj tersembunyi RM500 yang tak disebut dalam perjanjian pengajian,” katanya pada sidang bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini semalam.

Jelasnya, pihak kolej turut memotong 50 peratus bantuan zakat daripada jumlah RM800 yang patut diterimanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan meminta supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama PTPTN memantau operasi IPTS.

"Kita tidak mahu sesiapa ambil kesempatan terutama dalam isu pendidikan. Isu ini amat sensitif.

"PTPTN juga perlu turun padang untuk melihat sendiri kursus-kursus yang ditawarkan dan bukan setakat bagi duit sahaja," tagasya.

Selain daripada tawaran pinjaman pendidikan yang mudah lulus, yuran yang rendah, kolej ini juga memberi jaminan bahawa penuntut bakal mendapat pekerjaan dengan gaji yang lumayan selepas tamat pengajian.

Ketika ini, mangsa terpaksa menanggung beban hutang RM70,000 dengan PTPTN yang membiayai pengajiannya di peringkat diploma dan ijazah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Sumber: Astro Awani