IPOH – Bertubi-tubi tuduhan mempersoalkan kewarasan mental dirinya, pelakon Iqram Dinzly menegaskan dia tidak mempunyai masalah berkaitan mental dan hanya ingin meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa populariti sebagai seorang selebriti.
Iqram atau nama sebenarnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 36, berkata, apa yang dipaparkannya melalui Live Video (LV) Instagram hanyalah tindakan untuk mengekspresikan dirinya di laman sosial.
Pada masa sama, Iqram turut berasa tindakannya itu bukan untuk membebankan mana-mana pihak serta yakin tidak memesong daripada ajaran Islam yang sebenar.
“Saya tidak pernah mengganggu hidup orang. Komen saya mudah, apa yang dipaparkan di LV berlaku di platform alam maya dan ia terpulang kepada penerimaan masyarakat mengatakan saya gila, saya tidak kisah.
“Saya sudah mengatakan banyak kali yang saya tidak mahu lagi berlakon di bawah arahan orang. Jadi, apa salahnya saya berlakon mengikut rentak dan acuan saya sendiri tanpa melibatkan orang lain. Netizen perlu bijak membezakan siapa diri saya sebenar dan siapa saya di alam maya (sosial media),” jelasnya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di Ipoh, Perak sebentar tadi.
Sementara itu, menurut ibu Iqram, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 68, meskipun tindakan anaknya itu sering mengundang pandangan negatif dalam kalangan peminat, namun dia tidak mempunyai masalah atau menghalang keinginan pelakon filem Evolusi KL Drift itu.
“Sekiranya berasakan tindakannya kelihatan agak keterlaluan, saya tetap akan tegur kerana itu tanggungjawab sebagai ibu bapa meskipun anak telah dewasa. Saya juga sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya agar dirahmati dan diberkati Allah,” katanya.
Lalitol turut tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa Iqram mendapatkan rawatan ahli terapi atau pakar psikiatri kerana dikatakan kurang siuman.
“Sejujurnya saya mahupun ahli keluarga lain tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian kerana percaya dia masih sihat dan waras. Dia juga tidak mengancam keselamatan ahli keluarga mahupun sesiapa yang berada di sekitarnya,” terang Lalitol.
Iqram juga menegaskan enggan lagi dipanggil Iqram Dinzly tetapi mahu dikenali sebagai Prinxchiqy Dinzly. Kali terakhir dia berlakon menerusi telefilem berjudul Joni Togo: Misteri Dusun Durian tahun lalu.
Sumber – Kosmo