Iraq Tetap Hormat Malaysia


CHANGSHU, China – Walaupun turun selaku pasukan pilihan dalam Kejohanan Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) namun jurulatih Iraq, Abdul Ghani Shahad enggan memandang rendah terhadap kemampuan Malaysia.

Skuad Asiad Asia bakal membuka tirai kejohanan menentang pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee di Stadium Changshu pada Rabu ini dan Ghani memberitahu walaupun Iraq melakukan persiapan ringkas namun mereka tetap meletakkan sasaran untuk memburu trofi kejohanan.

“Persiapan yang kami lakukan untuk menghadapi kejohanan ini sangat ringkas. Kami hanya mengadakan satu perlawanan persahabatan sahaja dan tiba di sini empat hari lalu.

“Walaupun persiapan kami ringkas namun kami tetap mahu memburu trofi kemenangan dan kami mahu menghadapi perlawanan satu demi satu. Sekarang kami perlu fikirkan bagaimana mahu mengatasi Malaysia namun kami tetap fikirkan lawan yang lain.

“Bagi saya kekuatan semua pasukan adalah sama dan saya fikir setiap pasukan mempunyai peluang yang sama rata. Sebab itu kami buat persediaan kami untuk menghadapi setiap pasukan sama sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan semalam.

Iraq merupakan pasukan pilihan bagi Kumpulan C yang dihuni oleh Malaysia, Arab Saudi dan Jordan. Skuad kendalian Ghani itu beraksi dengan cemerlang dalam kempen kelayakan pada Julai lalu apabila muncul juara Kumpulan B.

Selain muncul juara kejohanan pada edisi pertama Iraq turut memenangi tempat ketiga pada dua tahun lalu dan berdasarkan sembilan perlawanan terakhir mereka skuad Asiad Asia itu hanya tewas sekali, seri tiga dan selebihnya menang.

Ditanya apakah Iraq boleh menang mudah ke atas Malaysia yang kali pertama layak menyertai kejohanan tersebut, Ghani berkata pihaknya menjangkakan akan menerima tentangan se­ngit.

“Tidak. Kami tidak boleh fikir seperti itu sebab macam saya cakap setiap pasukan ada peluang sama rata dan saya tidak boleh pandang rendah terhadap kemampuan lawan.

“Saya ada maklumat mengenai Malaysia dan tahu mengenai mereka. Saya berharap dapat menghasilkan formasi terbaik untuk menghadapi Malaysia nanti,” katanya lagi.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata Iraq tidak mempu­nyai masalah untuk beraksi dalam keadaan cuaca sejuk malah mereka hadir ke China dengan kekuatan maksimum.

“Saya tidak fikir cuaca di sini boleh menggangu pemain sebab pemain saya beraksi dalam cuaca berbeza bersama pasukan masing-masing. Kami tiada masalah untuk membawa pemain terbaik sebab semuanya berada dalam keadaan cergas serta bebas daripada kecedera­an,” katanya.

Sumber: Utusan Online