Itu Bukan Kereta Sayalah: Izreen Azminda


KUALA LUMPUR - Laman sosial kecoh apabila foto sebuah kereta didakwa milik aktres, Izreen Azminda yang disembur cat dengan tulisan 'Perampas Laki Orang', menjadi viral, pagi tadi.

Bagaimanapun, BH Online yang menghubungi Izreen atau nama penuhnya, Izreen Azminda Aznam, 32, menafikan dakwaan kereta terbabit milik beliau.

"Eh, bukan kereta sayalah. Saya sedang berada di set penggambaran projek terbaharu arahan Ziela Jalil, Geng Tadarus Untuk Ramadan yang bakal disiarkan RTM," katanya.

Ditanya ramai menyangka kereta terbabit miliknya, Izreen yang baru-baru ini dihambat kontroversi selepas menjadi isteri kedua seorang pemuzik, memberitahu beliau sudah lali dengan tuduhan melulu masyarakat.

"Biarlah apa orang nak kata atau fikir... Janji saya okay. Seandainya, terjadi pada saya sekalipun, negara kita ada undang-undang," katanya.

Sebelum ini, Izreen menjadi perhatian ramai apabila Intan Liana Saleh, 32, yang juga isteri pertama suami aktres itu, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 29, membuat pengakuan rela hidup bermadu dengan pelakon itu.

Izreen dan Ude yang juga pemuzik bebas, melangsungkan pernikahan pada 8 Ogos lalu di Damansara, Petaling Jaya berwalikan bapanya, Mohd Aznam Mohd Noor.

Sumber: BH Online