PANAS… Laman sosial tempatan kecoh apabila foto sebuah kereta didakwa milik aktres, Izreen Azminda yang disembur cat dengan tulisan ‘Perampas Laki Orang’, menjadi tular sejak pagi Rabu.
Bagaimanapun, memetik BH Online yang menghubungi pelakon wanita berkenaan atau nama penuhnya, Izreen Azminda Aznam, 32, menafikan dakwaan kereta terbabit adalah milik beliau.
“Eh, bukan kereta sayalah. Saya sedang berada di set penggambaran projek drama terbaharu arahan Ziela Jalil, Geng Tadarus Untuk Ramadan yang bakal disiarkan stesen RTM,” katanya.
Ditanya ramai menyangka kereta terbabit miliknya, Izreen yang baru-baru ini dihambat kontroversi selepas menjadi isteri kedua seorang pemuzik, memberitahu beliau sudah lali dengan tuduhan melulu masyarakat.
“Biarlah apa orang hendak kata atau fikir… Janji hidup saya tetap okay. Seandainya, terjadi pada diri saya sekalipun, negara kita pun masih lagi ada undang-undang,” katanya dengan nada tenang.
Sebelum ini, Izreen menjadi perhatian ramai apabila Intan Liana Saleh, 32, yang juga isteri pertama suami aktres itu, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude membuat pengakuan rela hidup bermadu dengan pelakon itu.
Izreen dan Ude, 29, yang juga pemuzik bebas, melangsungkan pernikahan pada 8 Ogos lalu di Damansara, Petaling Jaya, Selangor berwalikan bapanya, Mohd Aznam Mohd Noor.- Kedahnews.com