Jabatan Pertanian Perlis Keluar Garis Panduan Cegah Padi Angin


KANGAR – Jabatan Pertanian Perlis hari ini mengeluarkan satu garis panduan kepada para petani di negeri ini bagi mencegah tanaman mereka daripada diserang penyakit ‘padi angin.’

Pengarahnya Zulkifli Amin Mohd Jusoh berkata garis panduan itu perlu dipatuhi sepenuhnya.

Mengikut garis panduan itu para petani hendaklah membakar semua tunggul padi bagi membunuh virus yang terlekat pada tunggul padi dan memusnahkan sepenuhnya pokok yang tumbuh semula selepas penuaian dan diikuti dengan meracun jika masih ada benih yang tumbuh.

“Seminggu selepas meracun, para petani hendaklah menabur baja kering dan kemudian diracun bagi membunuh rumput rampai bagi memastikan virus padi angin musnah sama sekali,” kata Zulkifli Amin kepada Bernama di sini, semalam.

Penyakit padi angin iaitu buah padi tidak berisi menyebabkan ia menjadi ringan, menjangkiti beratus hektar tanaman padi di Perlis menyebabkan ratusan petani di negeri ini mengalami kerugian besar dalam musim menuai sekarang.

Penyakit padi angin juga dipercayai berpunca oleh penggunaan benih padi tidak sah atau haram.

Zulkifli Amin mengingatkan petani menghentikan pembakaran jerami mengikut lorong kerana pembakaran sedemikian tidak menyeluruh dan tidak menghapuskan virus padi angin sehingga ke akar umbi. – BERNAMA