KUALA LUMPUR - Suhu rendah dan cuaca sejuk yang melanda negara kebelakangan ini boleh memberi kesan terhadap kesihatan individu.
Kesan cuaca sejuk boleh menyebabkan suhu badan menjadi rendah selain mengundang penyakit lazim seperti demam, selsema, batuk dan hipotermia.
Pakar Kecemasan dan Trauma Pusat Perubatan Park City, Dr Hanafiah Bashirun, berkata cuaca sejuk boleh memberi kesan lebih besar bagi golongan tertentu, khususnya mereka yang mempunyai sejarah penyakit berkaitan pernafasan.
Katanya, mereka yang mempunyai sejarah lelah atau asma, perlu lebih berhati-hati memandangkan serangan boleh berlaku terutama pada waktu malam dan awal pagi ketika cuaca lebih rendah.
"Suhu badan manusia dikekalkan antara 36.1 darjah Celsius hingga 37.2 darjah Celsius serta mempunyai tisu kawalan suhu untuk badan yang berubah, bergantung kepada beberapa faktor termasuk persekitaran.
"Perubahan suhu persekitaran yang drastik boleh membawa kesan membimbangkan terhadap kawalan suhu badan bayi dan kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit pernafasan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Bagi mengelak risiko masalah kesihatan, Dr Hanafiah berkata, beberapa langkah perlu diambil sebagai persediaan
Antara lain, katanya, mengurangkan aktiviti luar rumah dan lawatan ke kawasan dingin, selain menggunakan pakaian tebal untuk memastikan badan kekal panas.
"Pengambilan cecair sebanyak 2.5 liter (l) sehari amat penting tanpa mengira cuaca dan masa, namun untuk cuaca sejuk begini, eloklah mengambil air panas atau suam untuk mengekalkan suhu badan," katanya.
Sumber: BH Online

