PELAWAK, Achey akui terkilan dengan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia dan isteri mandul ekoran masih belum dikurniakan anak meskipun sudah tujuh tahun berkahwin.
Namun, pelawak ini sedikit pun tidak menyimpan dendam dengan dakwaan tersebut sebaliknya bersikap lebih positif.
Kata Achey, dia sudah acap kali dilemparkan dengan tohmahan itu malah mengakui sudah lali dengan segala kata-kata masyarakat itu.
“Jagalah mulut apabila beri komen jangan sesuka hati tuduh orang mandul. Mungkin mereka tidak pernah merasa apa yang kami lalui.
“Saya dan isteri sebenarnya tidak kisah kerana pada usia perkahwinan kami tiga tahun lagi macam-macam orang cakap. Cuma janganlah cakap ikut suka saja.
“Takut nanti perkara itu berbalik pada diri sendiri. Kalau bukan diri sendiri mungkin pada anak, adik-beradik atau saudara-mara,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurut Achey lagi, dia menganggap situasi yang dihadapinya pada ketika ini adalah ujian daripada Allah dan pada masa sama, tetap tidak berputus asa mencuba apa jenis rawatan untuk mendapatkan zuriat.
“Sama seperti orang lain, kami juga menyimpan hasrat mempunyai anak. Saya dan isteri ada pergi ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.
“Isteri saya juga pergi berurut dan kami jalani kehidupan lebih sihat dengan jaga pemakanan. Kami tetap positif dan menganggap ini sebagai ujian dari Allah.
“Ada yang diberikan kesenangan tetapi bukan kebahagiaan dengan anak tetapi ada juga merasai kegembiraan ada zuriat sendiri namun kurang dari segi kewangan,” ujar Achey.
Sementara itu ditanya mengenai perkongsian Achey mengenai perjalanan hidupnya sebagai anak seni baru-baru ini, pelawak ini mengakui menerima maklum balas yang positif daripada netizen.
Rata-rata antara mereka ada yang menghantar mesej menerusi Instagram untuk memberi kata-kata semangat.
“Saya berterima kasih kepada semua peminat dan penonton Di Balik Tawa kerana memberi komen positif dan mendoakan kesejahteraan kami.
“Mungkin usia perkahwinan kami baru tujuh tahun tetapi saya juga merasai apa yang dirasai oleh mereka yang sudah lama menunggu cahaya mata. Saya sekadar berkongsi pengalaman dan perasaan,” katanya.
Apapun bersabarlah… Jangan terlalu fikirkan dan tertekan… Insya Allah, Tuhan tak akan sia-siakan kesabaran, doa dan usaha kita. –Kedahnews.com