RASA tidak percaya, faktor umur yang masih muda, latar belakang pendidikan dan kurang kasih sayang menjadi faktor kes pencabulan dan gangguan seksual tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Dengan purata dua kes setiap minggu, pengadu tidak merujuk kepada pihak berwajib kerana pelbagai sebab sebaliknya kepada pertubuhan bukan kerajaan untuk berkongsi masalah.
Aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi berkata, isu pencabulan dan gangguan seksual itu dilihat membimbangkan dengan rata-rata pengadu tidak mahu membuat laporan polis atau agensi terbabit kerana empat faktor itu.
Katanya, dalam beberapa kes diterima PUAK Payung yang diterajuinya, majoriti pengadu merasakan tidak ada pihak yang akan mempercayai kata-kata mereka biarpun membuat aduan rasmi.
Katanya, sebagai contoh, ada kes anak gadis yang menjadi mangsa ahli keluarga sendiri bimbang dituduh mereka-reka cerita dan itu menyebabkan mereka menyimpan kisa duka terbabit.
"Ada yang takut jika ahli keluarga atau pelaku itu dikenakan tindakan dan mereka dipersalahkan. Jadi, tidak mahu panjang cerita, mereka diamkan.
"Mangsa juga ada yang masih muda dan tidak pernah mengikuti pendidikan seks seperti yang diajarkan di sekolah. Jadi, biarpun dirogol, mereka menganggap itu sebagai sentuhan kasih sayang dari seorang bapa atau ahli keluarga," katanya kepada Harian Metro.
Beliau juga memuat naik beberapa kes yang dijadikan contoh betapa pentingnya membuat laporan di Facebook Syed Azmi menegaskan, 90 peratus mangsa mengenali pelaku dan 70 peratus dariadanya adalah ahli keluarga sendiri.
Katanya, biarpun hidup dalam kecanggihan teknologi, ada di anatara mangsa masih tidak mengetahui bahagian intim, menyebabkan mereka sendiri tidak kisah jika diapa-apakan.
"Bunyinya mungkin pelik tetapi inilah yang berlaku. Ada mangsa yang adik beradiknya semua perempuan, tidak pernah melihat bahagian intim lelaki.
"Jadi apabila berlaku pencabulan, mereka anggap itu adalah sentuhan kasih sayang tanpa menyedari masa depan sudah pun musnah," katanya.
Justeru Syed Azmi berkata, beliau bersama PUAK Payung mengaktifkan kempen Jangan Takut Nak Buat Laporan termasuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai.
Ia termasuklah Talian Nur 15999 dan polis sekiranya berdepan situasi dicabul atau gangguan seksual.
Sumber: Metro