KUALA LUMPUR - Juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan terus menyediakan kemudahan berkelas dunia dalam usaha memastikan pemain Harimau Selatan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Menerusi satu kenyataan di laman JOHOR Southern Tigers, Harimau Selatan bakal memiliki sebuah pusat latihan altitud dan kompleks hidroterapi yang turut dilengkapi dengan dapur organik untuk semua pemain pasukan itu.
"Kemudahan ini akan disediakan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Pusat Latihan Padang Mawar dan pusat latihan baharu yang akan dibina bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim nanti.
"Walaupun JDT sudah mempunyai pusat latihan dan fasiliti yang terbaik ketika ini tetapi ini adalah visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan pusat latihan baharu akan datang menjadi antara sepuluh terbaik di dunia," menurut kenyataan itu yang disiarkan, malam kelmarin.
Dalam kenyataan sama, pasukan itu turut memberi bayangan bentuk Pusat Latihan Altitud dan Kompleks Hidroterapi yang akan dibina di tiga pusat latihan milik pasukan itu akan menjadi kemudahan baharu untuk dinikmati pemain.
Berdasarkan pelbagai kemudahan yang ditawarkan, sudah pasti pemain mampu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dalam usaha memburu lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.
Antara kelebihan Pusat Latihan Altitud, ia dapat membantu meningkatkan kecergasan pemain dengan mereka didedahkan dengan persekitaran rendah oksigen manakala Kompleks Hidroterapi pula boleh membantu meredakan ketegangan otot selepas latihan dan perlawanan.
Sumber: BH Online