JKKK Yan Buru "Port Lepas Gian", Banteras Aktiviti Dadah


ALOR SETAR - Bagi membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah yang semakin menakukan di negara ini, seramai 50 pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan setiausaha Mukim Sungai Daun, Yan mengikuti program khas berkaitan isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat yang diadakan di Regency, Gunung Jerai, semalam.

Penghulu Mukim Sungai Daun, Zulkifle Omar berkata, tujuan program itu diadakan dan  Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Yan, Mohammad Ramli dijemput bagi memberikan taklimat adalah demi menggempur sarang dadah.

"Alhamdulilah program yang dianjurkan pejabat penghulu mukim Sungai Daun dan Pejabat Daerah dan Tanah Yan berjalan dengan baik," katanya.

Bagi memastikan remaja bersih dari dadah dan tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti kotor tersebut maka mereka perlu bermula dari akar umbi.

"Mereka yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi JKKK sesebuah kampung harus memainkan peranan penting dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat sekitar mereka," katanya.

Menurut Zulkifle, Pengerusi JKKK juga perlu mencari, memburu dan mengetahui port yang sering menjadi lokasi penagih melepaskan gian.

"Bersihkan port berkenaan dan wujudkan aktiviti sihat dikawasan tersebut," katanya.

Zulkifle berkata, pejabat Penghulu Mukim Sungai Daun juga akan sentiasa mengadakan mesyuarat bulanan bagi memastikan perkembangan semasa keadaan kampung dapat dilaporkan kepada penghulu. - Kedahnews.com