KUALA LUMPUR - Sering kali dikritik tatkala memperdengarkan bacaan al-Quran secara terbuka di laman Instagram miliknya, Johan As’ari, 33, akui dia berasa terkilan dengan segelintir pengikutnya yang berbuat demikian.
Berkata kepada Utusan Online, aktor filem Juvana itu menafikan dia seorang yang sukar menerima teguran, namun setiap orang dididik untuk menegur secara beradab, bukannya dengan kecaman.
“Saya bukannya jenis yang tidak boleh ditegur tetapi biarlah berhemah. Kita sebagai muslimin dan bangsa Melayu ada adab. Jadi, tegurlah dengan tertib.
“Disebabkan kecaman dan kritikan yang kasar, jujur saya rasa sedih dan kecewa apabila membacanya. Apa salahnya jika teguran itu ditulis dengan penuh rasa kasih sayang,” ujarnya.
Johan berkata demikian ketika hadir menyaksikan pertandingan akhir Gadis Panca-NR 2017 yang berlangsung di Dewan Utusan, Utusan Melayu Malaysia Berhad, di sini minggu lalu.
Pun begitu, pelakon tersebut tetap memberi pujian kepada pengikut media sosialnya yang tidak lokek memberikan kata semangat dan komen positif.
“Terima kasih atas kata-kata yang dizahirkan di atas landasan yang baik.
“Maaf sekiranya ada yang tidak senang dengan cara saya. Kita sama-sama manusia, tidak sempurna,” katanya.
Pada masa yang sama, terdapat juga netizen yang memuji sikap Johan yang sentiasa bersabar, tidak mudah melenting serta lembut dalam berkata-kata.
Sumber: Utusan Online