Jom Tengok Senarai Air Terjun Yang Menarik Di Kedah


1)Air Terjun Batu Hampar

Air Terjun Batu Hampar ini agak kurang dikunjungi berbanding dengan Air Terjun Titi Hayun, bukan kerana ia kurang menarik, tetapi sebab ia terletak lebih jauh di dalam hutan di bahagian kaki gunung. Tapi, kalau anda dapat sampai ke kawasan air terjun ini, ibarat tinggal di pulau peribadilah gayanya, suasana sunyi dan tenang tanpa gangguan. Untunglah kalau anda memiliki stamina yang tinggi, dapatlah merasa pengalaman yang istimewa yang ditawarkan alam penuh kehijauan ini.

Alamat: Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah


2) Taman Rekreasi Sungai Sedim

Taman Rekreasi Sungai Sedim ini terletak di Kampung Sedim. Untuk pengetahuan anda, di sinilah terdapatnya beberapa tarikan menarik seperti Sungai Sedim sendiri yang seronok untuk dijadikan tempat bermandi-manda dan banyak aktiviti air yang lain serta Sedim Rainforest Resort yang merupakan penginapan yang tidak sepi dari bunyi air sungai dan unggas yang berterbangan.

Sekiranya anda ke sini, banyak aktiviti menarik yang boleh dirancang untuk dilakukan bersama keluarga seperti peerkhemahan, meredah hutan, flying fox, berkelah,  rock climbing, abseiling, water rafting, treasure hunt dan banyak lagi.

Alamat: Sungai Sedim Recreational Forest, Kulim


3) Hutan Lipur Ulu Paip

Hutan Lipur Ulu Paip ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Bungsu. Di hutan lipur ini anda dapat melihat air sungai dan beberapa buah kolam yang terbentuk secara semulajadi yang seronok untuk anda bermandi-manda bersama keluarga.

Aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah berkelah dan berkhemah sambil ditemani bunyi alam semulajadi yang menenangkan jiwa. Salah satu cara yang terbaik untuk menghabiskan hari cuti bukan?

Waktu Operasi: 7.00am – 6.00pm
Bayaran Tiket: Percuma
Alamat: Hutan Lipur Ulu Paip, Jl. Kulim-Mahang, 09700 Karangan, Kedah


4) Air Terjun Junjong

Air Terjun Junjong ini terletak 15 km dari Kulim. Terkenal dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya pada hujung minggu. Kalau anda inginkan privasi, elakkan datang pada waktu-waktu ini.

Di Air Terjun Junjong terdapat kawasan kolam air terjun yang sesuai untuk  kanak-kanak tapi bagi anda yang tidak kisah untuk berjalan jauh sedikit dan inginkan cabaran, anda akan menemui air terjun yang lebih besar, di sini anda pasti puas punyalah bermandi-manda.

Waktu Operasi: Setiap Hari
Bayaran Tiket: Kemasukan Kenderaan RM2
Alamat: Air Terjun Junjong, Kulim, Kedah


5) Rimba Rekreasi Bukit Perak

Rimba Rekreasi Bukit Perak ini lengkap dengan kemudahan untuk anda yang datang seperti tempat meletak kereta, jalan bertar, tempat isterehat keluarga dan tandas, sesuai sekali untuk anda yang datang beramai-ramai, tak perlu melalui sebarang kesukaran untuk ke hutan rimba ini.

Apa yang menjadikan rimba rekreasi ini terkenal adalah kerana alam semulajadinya yang sangat indah dan terjaga dengan baik, termasuklah air terjun 3 peringkatnya. Anda boleh merancang aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga di hutan rimba ini seperti berkelah, merentas hutan, berbasikal, berkhemah dan bermacam lagi.  Suasana hutan yang mendamaikan dan kaya dengan flora dan fauna ini pasti memberikan keluarga anda pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan.

Alamat: Gunung Perak, 06700 Pendang, Kedah


6) Air Terjun Puncak Janing

Air Terjun Puncak Janing merupakan air terjun 4 peringkat yang terletak di Hutan Simpan Gunung Jerai. Sungai yang membentuk air terjun di sini adalah Sungai Janing yang berkepanjangan 1.5 km. Di sekitar kawasan sungai dan air terjun ini anda dapat melihat tumbuhan seperti kasai, tulang daing, palma dan meranti tembaga yang tumbuh mekar dan penuh kehijauan, menyejukkan mata yang memandang. Selain menikmati pemandangan yang indah untuk menenangkan fikiran, anda boleh melakukan aktiviti lain seperti mendaki gunung, berkhemah dan meredah hutan.

Alamat: Air Terjun Puncak Janing, 06300 Kuala Nerang, Kedah


7) Air Terjun Titi Hayun

Air Terjun Titi Hayun yang terletak di daerah Yan ini merupakan salah satu daripada 3 buah air terjun yang mengalir dari Gunung Jerai. Titi Hayun atau nama lainnya Jambatan Gantung ini adalah yang paling terkenal di daerah ini. Di sekitarnya terdapat tempat penginapan dan tapak perkhemahan untuk anda yang ingin bersatu dengan alam semulajadi dan melegakan badan dalam udara segar hutan rimba dengan sepuasnya.

Tarikan lain yang terkenal berdekatan dengan Air Terjun Titi Hayun adalah Tangga Kenari yang merupakan laluan yang disediakan untuk anda yang ingin mendaki sehingga ke puncak Gunung Jerai yang menawarkan pemandangan yang sukar dilupakan.

Alamat: Air Terjun Titi Hayun, Kampung Perigi, 06900 Yan, Kedah


8) Air Terjun Lata Mengkuang

Untuk mengunjungi Air Terjun Lata Mengkuang yang terletak di Hutan Lipur Rimba Teloi ini anda boleh memilih sama ada untuk trekking berjalan kaki ataupun membawa kenderaan dalam lebih kurang 1 km. Namun, jalan yang disediakan untuk kenderaan kurang elok dan tempat meletak kereta pula sempit jadi lebih baik berjalan kaki sebenarnya, dapatlah anda meningkatkan stamina dan menyegarkan badan dengan udara segar dari hutan indah ini yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok.

Setibanya di air terjun ini, anda dapat melihat sebuah keindahan air terjun semulajadi yang sangat mengujakan, bebas daripada sebarang pencemaran, suasana yang begitu menenangkan.

Alamat: Lata Mengkuang, 09100 Sik, Kedah


9) Air Terjun Seri Perigi

Air terjun yang berketinggian 100 meter, Air Terjun Seri Perigi ini adalah juga air terjun indah yang terletak di Hutan Simpan Gunung Jerai. Faktor utama keindahan air yang turun dari air terjun ini adalah kerana batunya yang tinggi dan rata, sangat menarik untuk dijadikan lokasi bergambar bagi anda yang sukakan fotografi. Walau bagaimanapun, lokasi ini tidaklah sesunyi Air Terjun Batu Hampar kerana ia merupakan kawasan perkhemahan yang terkenal terutamanya pada musim cuti, tambahan pula, air terjun ini agak jelas kelihatan walaupun dari Pekan Yan, ibarat memanggil orang untuk melawatnya.

Selain keindahan air terjun, anda juga akan disajikan dengan pemandangan menarik kawasan sawah padi dan perkampungan Melayu. Sungguh menakjubkan apa yang ditawarkan oleh alam ciptaan tuhan ini.

Alamat: Air Terjun Seri Perigi, Hutan Simpan Gunung Jerai

- Kedahnews.com