Jual 'Jajan' Buatan China, Bapa Murid Berang


MUADZAM SHAH - Bapa kepada seorang murid sebuah sekolah agama di Bandar Muadzam Shah, di sini, berang dengan peniaga yang menjual makanan ringan (jajan) yang diragui halal dan diimport dari negara luar.

Peniaga yang beroperasi berhampiran dengan sekolah itu menjadi tumpuan murid-murid ketika waktu mereka pulang.

Hanya mahu dikenali sebagai Rahman, pada mulanya beliau tidak perasan namun selepas memeriksa makanan yang dibeli anaknya, ia tiada tanda halal dan dibuat di negara China.

Beliau berkata, bukan mahu menutup periuk nasi peniaga itu namun biarlah menjual makanan yang sihat dan paling penting ia halal untuk dimakan.

"Pada saya tak salah nak berniaga kerana itu sumber rezeki, tetapi pastikan makanan yang dijual itu ada sijil pengesahan tertentu walaupun ia produk import.

"Selepas mendapati ia meragukan, saya cuba halang anak daripada membeli tapi ada masa gagal sebab dia keluar dulu dan saya sampai lewat, bila balik tengok dah ada dalam poket," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau turut berkongsi gambar makanan ringan jenis gula-gula getah yang dibeli anaknya itu di akaun Facebooknya.

Pada bungkusan jelas tertera ia merupakan produk dari Guangdong, China dan tiada pengesahan sijil halal Malaysia atau komuniti Islam negara itu.

Rahman berkata, pihak berkuasa perlu memandang serius isu ini kerana tidak mustahil anak-anak mereka juga membeli makanan yang sama.

"Bagi peniaga pula, hentikan menjual produk meragukan seperti ini, tidak salah nak untung tetapi biarlah dengan cara betul," katanya.

Sumber: Sinar Online