Kajian Beg Sekolah Berat Siap Bulan Depan


JOHOR BAHRU - Kajian mengenai masalah beg sekolah berat akan siap dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, kajian oleh Kementerian Pendidikan itu bertujuan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah terbabit dan hasil kajian akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan.

Katanya, berdasarkan pemantauannya sendiri terhadap murid Tahun Satu, isu berkenaan beg sekolah berat dilihat semakin berkurangan.

"Saya pergi mana-mana sekolah dan apabila berjumpa dengan murid Tahun Satu, saya ambil beg mereka. Ada pengurangan (berat beg) sikit.

"Selain itu, saya juga ingatkan cikgu dan sekolah, jangan biarkan murid membawa buku untuk seminggu, sebaliknya bawa hanya untuk hari itu (sehari) sahaja mengukut jadual waktu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Serampang, Bukit Indah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, yang juga Pengerusi MIC Johor, Datuk M Asojan.

Kamalanathan berkata, isu beg berat biasanya berpunca daripada reka bentuk beg berkenaan dan bukan beban daripada buku sekolah.

"Apa pun kita (kementerian) masih pantau dan menunggu laporan terakhir dalam tempoh sebulan dua ini sebelum dibentangkan kepada Menteri," katanya.

Pada majlis sama, Kamalanathan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada sekolah berkenaan, termasuk untuk mewujudkan prasekolah. 

Sumber: BH Online