KAK1M Diiktiraf MBOR


ALOR SETAR  - Seramai 918 peserta dari Kedah dan Perlis hari ini menyertai Program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KAK1M) yang diadakan secara serentak di seluruh negara.

Program itu sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai Program Kayuhan Amal Terbesar Secara Serentak.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah, berkata kayuhan sejauh 25 kilometer itu bermula dari perkarangan Kompleks Kastam Negeri, melalui Jalan Pegawai, Kuala Kedah, jambatan Tok Pasai, Kubang Rotan, Kuala Sungai, Ampang Jajar dan berakhir di kompleks itu.

"Tahun ini, kami mengehadkan pembabitan peserta berusia 60 tahun ke atas berikutan kes kematian mengejut seorang peserta berusia 60-an, pada tahun lalu.

"Kita mahu mengelak perkara dan tidak memaksa peserta menghabiskan kayuhan jika letih. Bagi peserta kanak-kanak atau pelajar, mesti ditemani ahli keluarga untuk keselamatan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan KAK1M di perkarangan Kompleks Kastam di sini, hari ini.

Pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Johari berkata, sumbangan peserta dan penaja program itu akan diserahkan kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Peserta cilik, Nurfaizatul Najwa Mohd Fadzil,12, dia begitu gembira kali pertama menyertai KAK1M bersama bapanya Mohd Fadzil Yahya,37.

"Saya dan keluarga aktif mengayuh basikal sejak tahun lalu, saya begitu teruja bersama peserta dewasa lain yang lebih berpengalaman.

"Saya yakin dapat menamatkan kayuhan ini selepas beberapa kali melakukan kayuhan hampir 40 kilometer termasuk di Pulau Pinang pada September tahun lalu," katanya.

Guru, Mohd Asyraf Mohd Atdeha, 34, penyertaan kali kedua program KAK1M dianggap lebih bermakna tahun ini apabila mendapat pengiktirafan MBOR.

"Saya rasa bangga menjadi salah seorang peserta program itu selain dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Sumber: BH Online