PENGENDALI UKM FC, Sulaiman Hussein berharap empat pemain importnya mampu memainkan peranan dalam membantu memantapkan corak pemainan pasukannya menjelang aksi Liga Malaysia 2018 yang akan membuka tirai, Jumaat ini.
UKM FC semakin perkasakan skuad mereka untuk memberi saingan dalam Liga Perdana selepas menyambar penjaring terbanyak Liga Kemboja musim lalu, Atuheire Kipson.
Selain Kipson, tiga lagi pemain dibawa masuk ialah Nam Se-in (Korea), Waheed Oseni (Nigeria), Ryutaro Karube (Jepun).
Sulaiman berkata, keempat-empat pemain import tersebut sepatutnya mempunyai kualiti lebih tinggi dan perlu lebih menyerlah berbanding pemain tempatan dalam pasukan berkenaan.
“Setakat ini dua sudah bersama kita dan dua lagi akan sampai esok (hari ini).
“Kita harapkan sebelum perlawanan pertama pemain ini dapat membina persefahamanan dalam diri masing-masing.
“Saya juga berharap mereka dapat memberi impak yang lebih kepada pasukan nanti,” katanya ketika dihubungi.
Sumber: Sinar Online