Kalau Guru Didera Pelajar Pulak Bagaimana?


JIKA dahulu guru diberi kepercayaan penuh oleh ibu bapa dalam mendidik anak bangsa di sekolah dan ini termasuklah hukuman jika murid itu nakal.

Namun jauh berbeza sekarang apabila golongan pendidik ini seakan-akan tidak lagi diberi ‘mandat’ daripada segelintir ibu bapa yang berfikiran kolot.

Malahan kini guru tidak boleh bertindak dengan sesuka hati lagi kerana bimbang sering diancam untuk disaman atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kes Cikgu Azizan memberi contoh terbaik bagaimana tindakan tegas seorang guru yang cuba didik anak bangsanya telah disalahertikan oleh beberapa pihak.

Malah, sering juga kita dengar sebahagian besar pelajar tidak hormati guru mereka, gara-gara golongan ibu bapa para pelajar terbabit mempunyai taraf hidup yang lebih baik.

Inilah hakikat sebenar kerjaya sebagai guru yang kini semakin mencabar, dengan tugas mereka bukan lagi sekadar mengajar di kelas sepanjang waktu persekolahan.

Terbaharu, gambar memaparkan kesan gigitan di tangan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh, Perak mula mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen.

Insiden agresif terbabit dipercayai berlaku ketika hari pertama sesi persekolahan dan ia dikatakan berpunca daripada tindakan nakal seorang murid lelaki tahun satu.

Biarpun guru itu telah ‘didera’ oleh muridnya, percayalah guru berkenaan tidak sesekali akan melakukan laporan polis atau menyaman ibu bapa murid terbabit.

Lebih-lebih lagi si pelaku merupakan anak kecil yang mungkin masih tidak tahu perbuatan itu adalah salah dan ia juga merupakan asam garam melayan kerenah anak-anak.

Maka jika pernah ada guru tersilap ‘menyentuh’ anak-anak kalian dengan niat untuk mendidik, jangan pula anda terus cepat menghukum mereka.

Datanglah berjumpa dengan tenang dan berbincanglah secara matang. Yang perlu dimaafkan, maafkanlah sahaja.

Guru bukan malaikat, mereka juga masih manusia biasa yang sesekali mungkin terkhilaf membuat salah silap juga. - Kedahnews.com