"KAMI sudah bersedia," kata penyerang skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Safawi Rashid yang tampak bersemangat untuk berdepan Iraq dalam aksi pertama Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Changshu, Rabu ini.
Biarpun mereka terlepas aksi pemanas badan terakhir menentang Syria B-23 akibat cuaca sejuk semalam, pemain lincah negara itu menganggap ia tidak memberi banyak kesan kepada persiapan skuad kebangsaan.
"Perlawanan pertama kita akan bagi 100 peratus dan saya yakin skuad negara akan bermain mati-matian nanti. Kita tahu, Iraq pasukan yang kuat dalam saingan kumpulan ini, tetapi itu tak bermakna kami tidak boleh memberikan saingan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di padang latihan Haikamu, semalam.
Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bakal tampil buat kali pertama di pusingan akhir kejohanan ini selepas layak secara automatik pada pusingan kelayakan di Bangkok, Thailand pada Julai tahun lalu.
Pada pusingan akhir, Malaysia diundi dalam Kumpulan C menentang juara 2013, Iraq, naib juara Arab Saudi dan pemenang tempat ketiga, Jordan.
Safawi yang membantu skuad B-22 meraih pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yakin dengan tempoh latihan dan aksi persahabatan di Mokpo, Korea Selatan selama dua minggu bulan lalu mampu melonjakkan prestasi setiap pemain.
"Saya percaya, walaupun semua pasukan Korea Selatan itu bermain di liga bawahan, tetapi persembahan mereka hampir menyamai dengan kekuatan seperti Iraq, Jordan atau Arab Saudi, jadi ia membantu kami menilai kekuatan dan kelemahan," katanya.
Sumber: BH Online