Kanak-Kanak OKU Dari Pendang Cedera Disyaki Didera Bapa


PENDANG – Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun melecur pada kedua-dua belah tapak kakinya selepas disyaki didera bapa kandungnya menggunakan besi panas di rumah mereka di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu selepas guru sekolah tempat mangsa belajar membawa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

“Pihak sekolah simpati dengan mangsa…apabila ditanya kanak-kanak itu memberitahu dia dipukul bapanya sejak beberapa hari lepas dan kita syaki mangsa didera,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mangsa yang juga OKU kategori masalah pembelajaran kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ekoran kejadian itu, polis menahan bapa mangsa berusia 30-an kira-kira 4.30 petang tadi untuk membantu siasatan.

“Kita juga akan soal siasat ibu mangsa dan beberapa individu terdekat untuk mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA