Kanak-Kanak Perempuan Melecur Disimbah Air Panas


SIBU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun melecur di pahanya dipercayai tersimbah air panas oleh seorang yang dipercayai teman lelaki kepada ibu kanak-kanak itu.

Kejadian tersebut berlaku apabila lelaki berusia 50 tahun yang tidak bekerja itu bertengkar dengan ibu mangsa yang berusia 31 tahun di bilik sewa mereka yang terletak di Jalan Oya di sini pada kira-kira 10 malam kelmarin.

Kes itu dilaporkan oleh pihak Hospital Sibu pada 3.25 pagi semalam setelah mendapati terdapat unsur-unsur penderaan terhadap kanak-kanak itu ketika dibawa ke Unit Kemalangan dan Trauma hospital itu.

Bertindak di atas laporan itu, sepasukan polis telah menahan suspek di bilik sewa itu pada kira-kira 1.30 tengah semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailanni Amit mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek telah secara tidak sengaja menyimbah air panas ke paha kanak-kanak tersebut menyebabkan lecur lima peratus di bahagian paha kiri dan satu peratus di bahagian paha kanannya.

“Berikutan itu, ibu mangsa membawa mangsa keluar dari bilik itu ke sebuah kedai kopi berdekatan. Mangsa dan ibunya kemudian dibawa oleh ambulans yang dihubungi oleh orang ramai di situ,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera.  – Bernama