Kanak-Kanak Tunggang Basikal Lajak Maut Dirempuh Kereta


PARIT - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas basikal lajak yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 37, Jalan Setiawan-Teluk Intan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa, Shahzrin Daniel Mohd. Rizal,11, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Katanya, sewaktu kejadian, mangsa dipercayai sedang menunggang basikal tersebut untuk melintas dai bahagian kanan ke kiri jalan.

"Kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 37 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Hujung Rintis menghala ke Sungai Besar.

"Kereta tersebut tidak sempat brek sebelum merempuh mangsa yang sedang melintas jalan," katanya

Menurut Mohamad Zainal, hasil bedah siasat di Hospital Changkat Melintang dekat sini mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada bahagian kepala.

Siasatan awal mendapati, tiada saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu dapat dipanggil untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sumber - Kosmo