Kedah ‘Bertuah’ Dapat 30 Saluran TV Digital Thailand


MERIAH… Menjelang pemansuhan siaran analog di seluruh negara pada 1 Jun ini, ramai pengguna yang tidak mampu melanggan perkhidmatan berbayar Astro mulai sibuk mencari set dekoder MYTV.

Juga dikenali sebagai MyFreeview dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Jun tahun lalu, dekoder ini turut menjadi topik perbualan panas dalam kalangan netizen ‘kaki TV’ tempatan.

Selain dijual di 220 kedai produk elektrik terpilih, kotak penerima isyarat penyiaran digital itu boleh dibeli atas talian dengan tempahan menerusi laman web MYTV selain kempen jelajah khas yang menawarkan harga promosi.

Malahan sejumlah 4.2 juta dekoder diagih secara percuma kepada yang layak termasuk golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam kelompok daif dan tentunya bukan pelanggan perkhidmatan televisyen satelit.

Apa yang menarik, ketika ramai pengguna MYTV tidak sabar menanti siaran televisyen terestrial digital (DTT), penduduk Kedah dikatakan paling bertuah apabila mampu menerima puluhan saluran daripada jirannya, Thailand.

Tinjauan daripada pelbagai sumber industri dan sembang santai pengguna media sosial, ramai netizen turut terkejut kerana negeri Utara di Semenanjung Malaysia itu paling ‘mewah’ siaran televisyen digital.

Bayangkanlah, Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBCT); lebih kurang seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), meluluskan 48 saluran TV digital ke seluruh Thailand sejak 2014.

Daripada jumlah itu, 24 saluran milik swasta manakala baki diuruskan oleh pelbagai agensi awam. Namun, hanya 30 saluran dapat diterima jelas di Kedah yang dipancarkan daripada beberapa stesen di Satun, Songkhla dan Pattani.

Antaranya TV5, NBT, PBS, Channel 3, MCOT, TNN 24, Nation TV, True4U, GMM 25, Channel 8, One HD dan Thairath TV. Sebahagian besar siarannya adalah dalam bahasa Thailand, tetapi ada juga stesen yang menyediakan sarikata.

Lebih unik, ia juga boleh diperoleh menerusi dekoder MYTV. Keadaan sama turut dinikmati penduduk Johor yang mampu menerima tujuh saluran digital daripada Singapura dan 15 lagi daripada jirannya iaitu Batam, Indonesia.

Sementara penduduk Sarawak pula difahamkan dapat menonton tiga saluran DTT dari Brunei. Ketika ini myFreeview hanya menawarkan stesen teresterial yang sedia ada iaitu saluran TV1, TV2, TV3, ntv7, 8TV, TV9 dan TV AlHijrah.

Juga saluran TVi dan Bernama News Channel (BNC) serta saluran radio kebangsaan iaitu Nasional FM, Traxx FM, Ai FM, Minnal FM dan Asyik FM. Namun jumlah saluran DTT sebenarnya akan ditambah lagi secara fasa berperingkat.

Menerusi Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional, 80 saluran TV dan 40 saluran radio bakal disiarkan melalui 60 menara pemancar utama dan 40 pengisi jurang meliputi 98 peratus kawasan di seluruh Malaysia menjelang 2020.

Stesen penyiaran kebangsaan, Radio Televisyen Malaysia khabarnya akan mewujudkan tujuh saluran baharu, malah tidak ketinggalan pihak Media Prima Berhad dan AlHijrah Corporation dengan siarannya mengikut tema tertentu.

Selain perkhidmatan interaktif yang bakal diperkenalkan MYTV kelak dengan kualiti audio dan visual amat canggih, ternyata projek nasional ini mampu rapat jurang digital penyiaran percuma untuk rakyat. - Kedahnews.com