ALOR SETAR - Kedah akan melancarkan jersi baru serta memperkenalkan barisan pemain dan pengurusan Liga Super musim 2018 malam esok.
Menurut Timbalan Pengerusi Media dan Perhubungan Awam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar berkata, majlis pelancaran itu akan bermula seawal jam 6 petang dengan ketibaan Presiden KFA merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
"Pelancaran jersi Kedah diikuti sesi memperkenalkan pemain dan jurulatih yang dipimpin Ramon Marcote serta pegawai dan staf bagi musim ini dijangka bermula sekitar jam 9.20 malam," katanya memetik BH Online.
Tambah Shaharol Niza, sempena majlis pelancaran jersi itu, KFA turut membuka kaunter pendaftaran bagi kad keutamaan ahli dan pas bermusim 2018.
"Kami berharap peminat setia Kedah mengambil peluang mendaftar keahlian pada hari terakhir promosi kad keahlian ini dengan jaminan pembelian tiket yang dinyatakan dalam syarat dan ganjaran kemasukan percuma pada perlawanan pertama Kedah di Stadium Darul Aman nanti.
"Pada majlis ini juga KFA akan meraikan penyokong dengan aktiviti santai, persembahan artis, kuiz, penjualan barangan penaja AL dan lain-lain," ujarnya. -Kedahnews.com