KUALA LUMPUR – Kuil-kuil menjadi tumpuan bagi acara keagamaan yang disempurnakan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam yang diraikan dalam suasana meriah hari ini.
Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor menerima tetamu khas dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu kehormat pada sambutan di kuil dengan nama serupa di Batu Caves.
Di Kuala Selangor, ribuan penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan sejak malam tadi bagi bersembahyang dan membayar nazar.
Najib yang tiba pada kira-kira 11 pagi disambut mesra oleh pengunjung dan pengerusi kuil itu, T. Morgana Sundram. Turut hadir Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
Rumah ibadat itu menjadi tumpuan bukan sahaja penganut Hindu malah pelancong tempatan dan asing bagi merasai sendiri pengalaman sambutan Thaipusam di Malaysia yang dianggap unik berbanding di beberapa negara lain.
Pengunjung yang ditemui Bernama berasa teruja atas kesudian perdana menteri hadir ke kuil berkenaan untuk menyambut Thaipusam bersama penduduk Kuala Selangor dan kawasan sekitar. “Saya sudah 10 tahun datang sini masa Thaipusam dan ini kali pertama perdana menteri datang ke mari, dan kami semua gembira dengan kehadiran beliau,” kata M. Raj, 39.
Di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves pula, Ahmad Zahid membawa khabar gembira dengan mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada kuil itu untuk membangunkan sebuah kompleks kebudayaan masyarakat India.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Tan Sri R Nadarajah, Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur Tun Samy Vellu serta beberapa menteri kabinet, pemimpin masyarakat India selain ribuan penganut Hindu.
Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia. – BERNAMA