Kejadian Budah Perempuan Dirogol, Dicetus Cetus Rusahan Di Pakistan


Kejadian budak perempuan tujuh tahun dirogol dan dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam tong sampah menggemparkan Pakistan hingga mencetuskan rusuhan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan siasatan polis.

Zainab Ansari, kali terakhir dilihat meninggalkan kelas al-Quran di Kasur, Punjab, dan gambar CCTV menunjukkan dia kemudian mengikut seorang lelaki tidak dikenali, minggu lalu.

Menurut ABC News, orang ramai menyerang balai polis dan bangunan kerajaan menyebabkan dua terbunuh dan sejumlah lagi cedera, beberapa jam sebelum kanak-kanak malang itu dikebumikan.

Pegawai polis di Kasur, Zulfiqar Hameed, enggan mengesahkan dua yang mati itu akibat terkena tembakan polis.

Seorang lagi pegawai kanan polis, Maqsood Ahmed, berkata enam budak perempuan menjadi mangsa serangan seksual di Kasur sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Daily Mail, media tempatan melaporkan kejadian kanak-kanak itu diculik ketika ibu bapanya menunaikan umrah. Mayatnya ditemui orang ramai di dalam tong sampah di Road Kot.

Bapanya Ameen Ansari yang tiba di lapangan terbang Islamabad hari ini, berkata: “Kami tidak akan mengebumikan Zainab sehingga pembunuhnya ditangkap.

“Polis bagaikan tidak berusaha mencari pembunuh anak saya. Jika mereka bertindak pantas, pasti suspek sudah ditangkap.”

Orang ramai merusuh mendesak suspek ditangkap dan digantung di khalayak ramai. Malah peniaga tempatan turut mogok dengan menutup perniagaan.

Antara yang menjadi sasaran kemarahan mereka, Ketua Menteri Punjab Shehbaz Sharif dan Ketua Polis Punjab yang didakwa gagal bertindak terhadap kes bunuh serta rogol kanak-kanak.

Malah hashtag ‘justiceforZainab’ turut digunakan meluas di media sosial Pakistan.-Agensi