Keluarga Sanggup "Bela" Anaknya Tokan Dadah Dari Serah Polis


BESUT - Empat wanita termasuk seorang ibu berusia 53 tahun ditangkap kerana cuba menghalang polis menangkap anggota keluarganya yang dikehendaki polis kerana disyaki mengedar dadah di Felda Selasih di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut,  Superintendan Mohd. Zamri Mohd Rowi berkata, lelaki yang ditangkap itu juga merupakan seorang daripada dua suspek yang diburu polis kerana menggigit tangan kanan seorang anggota polis hingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

Mohd. Zamri berkata, sebelum kejadian itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah (BSJND) IPD Besut telah membuat serbuan di belakang sebuah rumah di Felda Selasih pukul 2 petang semalam untuk menahan dua lelaki berkaitan dadah.

"Apabila serbuan dilakukan kedua-dua lelaki berkenaan berumur 53 dan 22 tahun telah melarikan diri tetapi salah seorang daripadanya berjaya ditangkap," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama