Kempen #UndiRosak Hanya Rugikan Rakyat – Ahmad Bashah


ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan kempen #UndiRosak hanya akan merugikan semua orang termasuk pengundi sendiri dan sama sekali tidak perlu diwujudkan oleh mana-mana pihak.

Adalah lebih mulia jika pihak masing-masing berusaha mengukuhkan ‘jenama’ parti sendiri demi menambat hati pengundi.

“Tak perlu kutuk atau berkempen nak rosakkan undi ini. Jaga jenama parti masing-masing sudah dan selebihnya biar pengundi yang pilih dan tentukan yang terbaik buat mereka.

Kalau undi rosak nanti siapa yang rugi. Kita (BN) tidak pernah ajar pengundi-pengundi untuk rosakkan undi sebaliknya apa yang kita mahukan adalah sifar #UndiRosak,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Darul Qiyyam di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Bashah sempat mengingatkan para pengundi agar bijak untuk menepis segala hasutan dan tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang dibawa pihak tertentu yang bertujuan menjejaskan perancangan pembangunan kerajaan.

“Mereka yang timbul lima tahun sekali ini suka menghasut. Jangan mudah terpedaya kerana mereka ini ada kepentingan tersendiri sehingga menjejaskan perancangan yang dibuat kerajaan demi kemajuan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kempen Kempen Undi Rosak yang sebelum ini tular di laman sosial dengan menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote dan #ProtesPRU. - Kedahnews.com