KUALA LUMPUR - Saat pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, berdepan isu panas dakwaan mengasari anggota polis dan orang awam, Datin Diana Danielle, berharap orang ramai terus mengenang suaminya itu sebagai lelaki berbudi pekerti.
Diana sendiri mengakui, bintang J Revolusi itu lelaki yang baik dan disenangi ramai.
Pada masa sama, Diana berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan tanpa henti, ketika suaminya berdepan dugaan getir dalam hidup.
"Farid seorang yang amat disenangi. Saya berharap semua pihak akan terus mengingati beliau sebegitu.
"Apa pun, buat waktu ini, saya tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut kerana mahu menyelesaikan perkara terbabit secara peribadi. Terima kasih atas sokongan semua pihak.
"Jangan risau mengenai Farid kerana beliau dikelilingi oleh mereka yang menyayangi dan memberikan sepenuh sokongan kepadanya," kata Diana kepada BH Online ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
Semalam, bintang filem Histeria itu turut hadir di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi memberikan sokongan kepada Farid.
Tampil berbaju kurung dan berwajah polos, Diana juga kelihatan tenang ketika meninggalkan pekarangan mahkamah.
Sebelum ini, Farid ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Dalam prosiding semalam, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, selain berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara.
Mahkamah membenarkan Farid diikat jamin RM12,000 untuk semua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Sumber: BH Online