KUALA LUMPUR - Khairul Helmi Johari meminta penyokong Kedah agar bersabar dan memberi ruang serta masa kepada pemain import baru, Pablo Pallares untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia.
Orang lama skuad Helang Merah itu yang lebih mesra disapa Keon berkata, masih terlalu awal untuk mereka membuat penilaian apatah lagi menjatuhkan hukuman ke atas Pallares memandangkan dia baru saja menyertai pasukan.
"Belum sampai sebulan Pablo bersama kami, jadi tidak adil untuk kita membuat penilaian mengenai prestasinya apatah lagi hanya berdasarkan perlawanan persahabatan.
"Memang diakui dia tampak agak bergelut dalam perlawanan menentang PKNP tapi tidak boleh dijadikan ukuran oleh penyokong untuk terus mengatakan dia tidak bagus," ujar Keon.
Prestasi Pallares yang kurang memberangsangkan dalam perlawanan persahabatan menentang PKNP FC, Rabu lalu mencetuskan resah di kalangan penyokong setia pasukan sehingga ada yang mempertikaikan pemilihannya.
Malah, Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) melalui presidennya, Nor Asmadi Hamzah berkata, mereka juga meragui kemampuan sebenar Pallares berdasarkan rekod lampau pemain itu yang membuktikan dia bukan peledak gol.
Keon berkata, sebagai pemain yang pertama kali menempuh pengalaman bermain di negara ini, sudah tentu Pallares mengalami sedikit kejutan budaya.
"Sebelum ini dia tidak pernah bermain dengan mana-mana kelab di luar Sepanyol. Segala-galanya baru bagi Pablo sama ada kehidupan, budaya serta bola sepak.
Saya harap peminat memahami situasi ini serta memberi dia masa untuk menyesuaikan diri.
"Pada masa sama saya juga berharap Pablo tidak mengambil masa terlalu lama untuk mencari keserasian kerana dia perlu sedar bahawa pasukan dan penyokong menaruh harapan tinggi ke atasnya," kata Keon.
Sumber: BH Online